June 20, 2019

Alhamdulillah

Seringkali bila kita bertanya berkenaan makna Alhamdulillah, kita akan mendapat pelbagai jawaban mengenainya. Ada yang menjawab kalimah tersebut bermaksud puji-pujian bagi Allah dan ada juga yang menjawab ia bermaksud terima kasih Allah. Apakah sebenarnya makna Alhamdulillah?

Jawabannya, Alhamdulillah bermaksud kedua-duanya sekaligus. Bolehkah kita memuji tanpa berterima kasih atau berterima kasih tanpa memuji?

Contoh puji-pujian tanpa berterima kasih ialah apabila kita kagum dengan sesuatu perkara seperti rumah yang cantik, kereta yang berkelajuan tinggi, ladang yang luas. Kita memuji tetapi kita tidak berterima kasih kepada perkara-perkara tersebut mahupun pemiliknya.

Contoh terima kasih tanpa memuji pula ialah apabila kita mengakui pertolongan dan berterima kasih kepada seseorang walhal orang tersebut adalah seseorang yang kita benci kerana sifat zalimnya.

Sebaliknya, Alhamdulillah hanyalah kepada Zat Yang Maha Mencipta dan Maha Menguasai segalanya. Kita memuji-Nya dan berterima kasih kepada-Nya sekaligus atas segala apa yang diciptakan-Nya untuk kemudahan kita di dunia dan kehidupan ini.

Dengan itu, Alhamdulillah juga adalah satu kalimah yang mengajar kita erti berfikiran positif pada setiap saat kehidupan kerana kita mengakui bahawa atas segala kejadian yang berlaku ke atas diri kita, Allah lah yang mengizinkannya. Dia berkuasa keatas perkara negatif dan Dia juga mampu untuk menukarkan situasinya kepada positif jika Dia berkehendak

Tambahan pula, jika hendak dibandingkan perkara-perkara buruk yang telah berlaku kepada kita dengan nikmat yang Allah telah kurniakan, terlalu sedikit kesukaran jika dibandingkan dengan nikmat Allah. Terlalu banyak nikmat yang kita terima dari sekecil-kecil nikmat seperti kemampuan untuk bernafas dan bergerak sehinggalah sebesar-besar nikmat seperti zuriat yang baik dan kemewahan dunia.

Allah tidak mendambakan puji-pujian atau ucapan syukur daripada kita. Bahkan, kitalah yang sentiasa memerlukan pertolongan dan bantuan Allah dalam setiap aspek kehidupan kita.

“Alhamdulillah Ya Allah atas segala nikmat yang telah Kau kurniakan kepada kami, terimalah kami sebagai hamba-Mu dan maksudkanlah kami ke dalam syurga-Mu yang kekal abadi.”

Rujukan:

  1. Brief Explanation Of Alhamdulillah by Ustadh Nouman Ali Khan, https://www.youtube.com/watch?v=uPWHk_PN9Ho
  2. [Transkrip Kartun Islami] Manusia Alhamdulillah – Nouman Ali Khan, https://nakindonesia.wordpress.com/2016/12/28/manusia-alhamdulillah/
  3. [Subtitle Indonesia] Rediscovering The Al Fatihah: Bagian 1, https://www.youtube.com/watch?v=o-O9YiIINok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *