June 13, 2019

Dengan Nama Allah…

Allah ‘azza wajalla memiliki 99 nama yang masyhur. Melalui nama-nama ini kita mengenali sifat-sifat dan kualiti Allah yang unik dan tidak dapat dibandingkan dengan segala apa pun. Demikian itu kita sentiasa mendahuluinya dengan sebutan Yang Maha menandakan tiada yang terbanding dengan sifat-sifatNya itu.

Sebagai seorang manusia kita dijadikan begitu lemah dan kita memerlukan pertolongan di setiap saat kehidupan. Apabila kita meminta pertolongan daripada manusia yang lain, lumrahnya kita akan mulakan dengan kata-kata yang baik dan puji-pujian. Lebih-lebih lagi jika kita meminta bantuan dan pertolongan daripada Allah ‘azza wajalla yang memiliki segalanya, selayaknya kita mulakan dengan nama-namaNya masyhur seperti Ar-Razzaq (Yang Maha Memberi Rezeki), Al-Hadi (Yang Maha Memberi Petunjuk) dan nama-namaNya yang lain bersangkutan dengan perihal yang kita perlukan pertolongan tersebut.

Lantas bagaimana jika kita memerlukan pertolongan daripada Allah untuk semua aspek kehidupan, nama Allah yang manakah patut kita seru atau sebut. Maka Allah Yang Maha Penyayang mengajarkan kita kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim yang merangkumi segala nama yang dimilikinya.

Apabila kita memulakan segala aktiviti dan perbuatan dengan bismillah, kita sebenarnya meminta pertolongan daripada-Nya dan menyerahkan kesudahannya kepada Allah ‘azza wajalla yang memiliki sekalian alam ini.

“Ya Allah, dengan nama-Mu kumulakan perjalanan laman ini. Aku tidak tahu apakah cabaran yang bakal kuhadapi. Hanya yang kutahu inilah usaha ku menuruti jalan-Mu, jalan kembali kepada Mu seperti jalan-jalan yang ditempuhi para Nabi dan sahabat-sahabatnya sehingga saat dijemput-Mu. Berkahilah ia dan kurniakanlah keberkatan dan petunjuk-Mu kepada diriku, ibu-bapaku, isteriku, anak-anakku, keluargaku, keturunan serta sahabat, kenalan dan pengunjung laman ini…”

reference:

  1. Benefits of Saying Bismillah | Ustadh Nouman Ali Khan, https://www.youtube.com/watch?v=i-3O_cpKxf8
  2. [Transkrip Indonesia] Manfaat Mengucapkan Bismillah – Nouman Ali Khan, https://nakindonesia.wordpress.com/2016/10/07/manfaat-mengucapkan-bismillah/
  3. Dr Danial : Kuliah Tafsir Al-Quran Surah Al-Fatihah 1 – 7, https://www.youtube.com/watch?v=TnKVpmkkbus
  4. Ustaz Azhar – Tafsir Al-Fatihah – Part2.flv, https://www.youtube.com/watch?v=e22hKxyuHD8

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *